Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Ab . Majid dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1945. Persekolahan beliau bermula pada tahun 1950 di bawah bimbingan ayah beliau sendiri di Madrasah Majidiyah, Kg. Kayu Redang , Melor, Kota Bharu, Kelantan. Di peringkat menengah beliau belajar di Mahaad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan. Pengajian tingginya juga bermula di negeri itu, iaitu di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan yang kemudiannya diserapkan sebagai Akademi Islam Universiti Malaya.
Beliau memperoleh pelbagai ijazah berkaitan Shariah dari dalam dan luar negara, seperti Ijazah Sarjana Muda Shariah dari Universiti Al-Azhar dan Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara dari University of Kent di England. Tambahan lagi, beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Shariah dari Universiti Malaya. Dalam bidang akademik, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Shariah Universiti Malaya selama 5 tahun. Kemudiannya beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Beliau menjadi Profesor di bidang Shariah di Universiti Malaya sejak tahun 1995 dan berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh pada tahun 2008 sehingga Julai 2016. Dalam tempoh tersebut, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan, Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dan Dekan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS). Pada tahun 2011 beliau telah dianugerahkan oleh Universiti Malaya kedudukan sebagai Profesor Emeritus.
Di bidang kewangan Islam, beliau sekarang adalah seorang ahli Lembaga Pengarah bukan Eksekutif Public Islamic Bank Berhad (PIBB) merangkap pengerusi Jawatankuasa Shariah PIBB. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Shariah AIA Public Takaful serta Pengerusi Jawatankuasa Shariah bagi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Securities. Selain itu, beliau merupakan ahli jawatankuasa Shariah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Mutual Berhad (AMB), dan as-Salihin Trustee Berhad. Selain ini beliau pernah menjadi ahli kepada The Council of Scholar for International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA), Bank Negara Malaysia selama enam tahun.
Dalam bidang-bidang yang lain, beliau adalah Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Timbalan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia (LEPAI), Ahli Lembaga Universiti Islam Malaysia (UIM), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiyah (YADIM), Ahli Lembaga Penasihat Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia (MPI), dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Shariah bagi Pensijilan MS 1900: 2005 SIRIM.
Antara Khidmat beliau yang pernah diberikan sebelum ini ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan (1990- 2012), Panel Hakim Mahkamah Rayuan Shariah Negeri Kelantan (1990-2012), Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (2006-2012), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (2004-2013), Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) (2010-2016) dan Pengerusi Majlis Dekan Pengajian Islam Malaysia (2012-2014). Sehingga ke hari ini, beliau telah menghasilkan sebanyak 34 buah buku dan menyumbang 26 artikel.